Wednesday, November 18, 2009

Prestasi Penglibatan Melayu Melaka Dalam Sektor Pembuatan

Pertumbuhan sektor pembuatan di Melaka pada tahun 2008 dan 2009 menurun sedikit berbanding pada tahun sebelumnya kesan daripada tindak-tanduk dan sikap lebih berhati-hati di kalangan pelabur berikutan ekonomi dunia yang agak perlahan. Gara-gara daripada lonjakan harga minyak, krisis makanan dan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat yang dianggap sebagai nadi pertumbuhan ekonomi dunia menyebabkan pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih suram.

Kesan daripada kelembapan ekonomi ini sedikit sebanyak turut mempengaruhi aktiviti perniagaan di dalam bidang pembuatan di Melaka. Kesan ini dapat dirasai dengan berlakunya penurunan penglibatan para peniaga sebanyak 10% pada tahun 2008 berbanding pada tahun 2007. Jika dilihat dari segi penglibatan kaum terutamanya kaum Melayu amatlah sedikit dan jelas pengurangan berlaku dalam aktiviti pembuatan berasaskan perabot dan perkayuan iaitu hanya 10.4%, getah dan plastik iaitu 9.2%, produk galian bukan logam iaitu 4.1% dan diikuti produk berasaskan logam iaitu 11.9%

Begitu juga dengan pengeluaran berasaskan produk petroleum bertapis dan bahan api nukleur seperti penyimpanan cecair merbahaya,minyak atau petrol yang menunjukkan pengurangan penglibatan semua kaum sebanyak 62% pada tahun 2008 berbanding tahun sebelumnya. Pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih perlahan akan mengurangkan permintaan terhadap bahan bakar ini sekaligus menyebabkan kejatuhan pendapatan peniaga yang menjalankan aktiviti ini.

Namun demikian, dengan adanya program dan projek pembangunan yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan dan di bawah pembangunan kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri, ia mampu memberikan impak yang positif dan berkesan dalam merancang pembangunan ekonomi yang berterusan.

Sebagai contoh, kerajaan negeri telah memohon peruntukan sebanyak 6.1 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar bagi menaik taraf gerai dan membina kawasan rawat dan rehat (R&R) di Sungai Rambai di samping pelbagai lagi gerai baru yang dibina oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dan Kerajaan Negeri. Ini secara tidak langsung dapat membantu pengusaha makanan dalam memastikan kualiti dan mutu makanan yang disediakan terjamin di samping mewujudkan lebih ramai pengusaha makanan.

Memang tidak dinafikan bahawa perusahaan makanan dan minuman dalam sektor pembuatan ini merupakan antara aktiviti yang hampir mencapai sasaran 30%. Pembabitan pengusaha Melayu pada tahun 2007 telah mencapai sebanyak 23.6% dan bertambah pada tahun 2008 sebanyak 26.4%. Ternyata ramai yang memilih aktiviti perniagaan berasaskan pembuatan makanan dan minuman kerana percaya bahawa perniagaan ini adalah perniagaan yang menguntungkan dan berterusan serta tidak memerlukan kemahiran dan pengetahuan yang terlalu rumit. Justeru itu, kerajaan negeri memandang serius mengenai pembabitan Melayu dalam sektor pembuatan secara keseluruhan dengan menumpukan atau memberi perhatian yang lebih terhadap aktiviti yang dianggap kritikal.

Pelbagai kursus dan program yang melibatkan usahawan yang di jalankan oleh pelbagai agensi bagi mempertingkatkan pengetahuan serta motivasi. Selain itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali bin Rustam juga ada menyarankan bahawa setiap agensi kerajaan yang terlibat dengan program pembangunan usahawan harus bertindak sebagai ”lead agency” bagi beberapa sektor perniagaan utama seperti sektor pembuatan, sektor peruncitan, sektor perniagaan am dan beberapa lagi sektor utama dalam usaha untuk menambah jumlah usahawan Bumiputera di Melaka. Katanya lagi, ”lead agency” berperanan memastikan bahawa penubuhan persatuan diwujudkan mengikut bidang-bidang utama perniagaan. Dengan cara ini, penyertaan usahawan akan bertambah dari semasa ke semasa kerana kebaikan berpersatuan itu sendiri selain dapat memberikan khidmat nasihat dan menyediakan pakar runding bagi memastikan tahap perniagaan berada di tahap tertinggi dan semasa juga memberikan pendedahan dalam melahirkan usahawan yang tahan mengharungi dunia perniagaan. Usahawan perlu diingatkan agar tidak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan dan mereka perlu menyahut cabaran kerajaan untuk menjadi usahawan yang benar-benar berjaya”.


Menurut Datuk Haji Hasnoor , selaku pengarah Majlis Tindakan Ekonomi dan Sosial Bumiputera (MTESB), hasil pemantauan yang dijalankan terhadap 4 aktiviti yang kritikal ini mendapati bahawa faktor-faktor yang menyebabkan penurunan bilangan pengusaha adalah disebabkan oleh pasaran yang kurang memberangsangkan, tidak mempunyai kemahiran dan pengalaman yang luas dalam industri ini juga memerlukan modal yang agak tinggi. Selain itu, ramai pengusaha Melayu beranggapan bahawa aktiviti pembuatan seperti perabot, getah dan plastik, logam dan bukan logam berhadapan dengan risiko yang tinggi berbanding perniagaan yang lain. Enggan menghadapi risiko menyebabkan ramai pengusaha Melayu memilih perniagaan yang mudah seperti perusahaan makanan dan minuman.

Sasaran untuk menguasai ekonomi Bumiputera Melaka sebanyak 30 peratus di bidang kritikal menjelang tahun 2010 masih belum tercapai berikutan pemikiran kaum Melayu yang begitu rigid terhadap bidang perniagaan. Sehubungan dengan itu semua agensi yang terlibat dalam pembangunan usahawan harus memberi tumpuan kepada aktiviti yang kurangnya pembabitan orang Melayu demi merealisasikan sasaran yang ditetapkan.

1 comment:

  1. dato kalau diperhatikan rata-rata bangsa cina memonopoli ekonomi di sesuatu tempat..contohnya DUN duyung orang melayu hanya berani membuka kedai makan di tepi-tepi jalan tetapi dari segi perkhimatan,peruncitan dan pembuatan bangsa cina dan india lebih maju berbanding orang melayu..kenyataan ini lebih ketara apabila tibanya perayaan tahun baru cina kebanyakkan peniaga dan pengusaha bangsa ini bercuti dan menutup segala aktiviti penjualan dan perkhimatan mereka sementara kerana untuk menyambut tahun baru cina.. ternyata ianya melumpuhkan segala aktiviti di sekitar duyung mujur ada perniagaan bangsa lain dalam sektor tersebut tetapi bukannya orang melayu malah bangsa india pulak yang mendapat manfaat dan keuntungan daripada keadaan tersebut.
    contoh yang paling sesuai katakanlah bangsa melayu menjalankan perniagaan kedai makan di tepi-tepi jalan tiba-tiba gas untuk memasak sudah habis penggunaannya masa itu sedangkan kedai cina yang selalu dia pergi beli tutup disebabkan cuti perayaan dan kedai runcit india tidak cukup untuk menampung stok pembelian tong-tong gas kerana orang melayu semua sudah ramai bertumpu datang membeli tong gas di kedainya,ini secara tidak langsung aktviti penduduk di sekitar duyung akan terhenti seketika..begitu berkuasa sekali saya tengok bangsa cina mengawal ekonomi sesuatu penempatan yang majoritinya penduduk melayu..bagaimana komen dato di dalam hal ini pulak?

    ReplyDelete