Tuesday, January 4, 2011

MEMPERKASAKAN EKONOMI ORANG MELAYU DALAM MEREALISASIKAN WAWASAN 2020


1. Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah mengubah kedudukan orang Melayu dengan amat ketara sekali sekitar tahun 70-an sehingga 90-an. Tidak dinafikan bahawa daripada segi pemilikan kekayaan, khasnya dalam sektor korporat, masyarakat Bumiputera mampu mencapai peningkatan yang agak membanggakan, iaitu daripada tahap 2 peratus pada tahun 1970 kepada 20 peratus pada tahun 1990.

2. Dan dalam tempoh 53 tahun DEB telah memberi impak yang besar kepada peningkatan sosio-ekonomi orang Melayu. Begitu juga dengan kehidupan masyarakat Bumiputera dan Bukan Bumiputera adalah lebih baik dan selesa berbanding sebelumnya. Namun, hakikatnya selama 53 tahun juga, pelaksanaan dasar ini tidak begitu banyak melahirkan ramai golongan Melayu yang benar-benar berjaya dalam bidang perniagaan, sekaligus pegangan DEB yang dikatakan berkait rapat dengan jiwa Melayu tidak dapat memenuhi hasrat pemimpin amnya.

3. Di Melaka, pada tahun 2008, pencapaian kaum Melayu dalam beberapa sektor perniagaan melepasi sasaran 30 peratus iaitu sektor peruncitan (41.8) peratus dan sektor restoran (45.3) peratus. Bilangan penyertaan kaum Melayu terus meningkat dari setahun ke setahun dalam kedua-dua sektor ini dengan pencapaian sehingga bulan Oktober 2010 iaitu (45.2) peratus bagi sektor peruncitan dan (50.0) peratus bagi sektor restoran. Dari segi jumlah penyertaan, memang benar bahawa peratusan bilangan pengusaha Melayu hampir menyaingi kaum Bukan Bumiputera dalam dua sektor tersebut. Ini merupakan satu kemajuan yang boleh dibanggakan dari segi penguasaan dan minat orang Melayu untuk menceburi bidang perniagaan. Tapi kita seharusnya maklum bahawa Bumiputera merupakan komposisi terbesar di negara ini dan sekiranya pencapaian 30 peratus yang disandarkan tidak lagi relevan maka pencapaian perlu ditingkatkan kepada 67 peratus bagi memastikan penguasaan terhadap dua sektor ini dimiliki dan dikuasai oleh kaum Bumiputera pada tahun akan datang.

4. Bagi sektor yang lain seperti pembuatan dan sektor perkhidmatan, komuniti, sosial dan persendirian lain, pencapaian penyertaan kaum Bumiputera masih kurang memuaskan. Sehingga Oktober 2010, hanya (19.5) peratus yang terlibat dalam sektor pembuatan manakala (20.9) peratus pula dalam sektor perkhidmatan komuniti, sosial dan persendirian lain. Oleh itu, penguasaan dalam kedua-dua bidang perniagaan ini perlu diberi perhatian lebih dan tenaga kaum Melayu perlu dikerah bagi menyaingi kedudukan kaum Bukan Bumiputera.

5. Persoalannya, mengapakah sektor pembuatan dan perkhidmatan tersebut masih tidak mendapat perhatian di kalangan peniaga Melayu? Adakah orang Melayu tidak mampu untuk menceburi bidang-bidang ini?

6. Jika kita tinjau dan perhatikan keadaan sekeliling, kita dapati rata-rata yang menjadi pilihan peniaga adalah membuka perniagaan kedai runcit , kedai makan ataupun mini market. Kebanyakan daripada peniaga Melayu mengatakan bahawa membuka kedai makan, contohnya boleh menarik perhatian ramai pelanggan untuk membeli dan makan setiap hari. Apabila cara pemikiran sebegini yang diterapkan dalam diri orang-orang Melayu, maka tidak hairanlah begitu ramai yang membuka perniagaan kedai makan, malahan tempat perniagaan juga berhampiran antara satu sama lain. Secara tidak langsung, persaingan berlaku antara peniaga-peniaga Melayu ini.

7. Kita tidak perlu tertumpu hanya pada sektor-sektor ini sebaliknya harus memberi peluang kepada syarikat-syarikat yang telah wujud dengan jayanya bagi mengembangkan perniagaan mereka di peringkat antarabangsa. Kita harus mengambil sedikit iktibar daripada cara kaum Bukan Bumiputera berniaga. Mereka lebih berminat menyertai bidang yang agak mencabar di mana persaingan adalah kurang daripada mana-mana individu. Sebab itu, jika kita lihat dari segi pemilikan ekuiti dalam sektor korporat , kaum Bukan Bumiputera mencatatkan kadar peratusan tinggi berbanding Bumiputera. Bukan itu sahaja, kebanyakan peniaga Bukan Bumiputera yang berniaga dalam bidang-bidang kritikal ini mampu meraih pendapatan dan pulangan yang begitu lumayan.

8. Kita perlu terima hakikat bahawa kaum Melayu masih lagi tercicir dalam bidang perniagaan berdasarkan kepada peratusan yang diberi. Walaupun peratusan dalam bidang-bidang tertentu menunjukkan sedikit peningkatan dan hampir-hampir menyamai kaum Bukan Bumiputera, namun ini semua hanyalah berlandaskan kepada kuantiti penyertaan tetapi dari segi kualiti pemilikan masih jauh ketinggalan.

9. Bilangan penyertaan Bumiputera yang menyertai sektor perniagaan boleh dikatakan bertambah pada setiap tahun tetapi hanya 7.2 peratus daripada premis perniagaan dikuasai oleh Bumiputera. Sekiranya pemilikan adalah rendah, ini secara tidak langsung boleh menggugat penyertaan yang berpanjangan. Namun demikian, jika pemilikan yang banyak tetapi penguasaan terhadap kuasa pasaran adalah rendah juga tidak akan menampakkan keberhasilan dalam perniagaan. Sebab itu, penyertaan, pemilikan dan penguasaan haruslah seiring, maka dengan itu sasaran bagi memenuhi agenda ekonomi Melayu akan tercapai.


10. Kita tidak lari daripada hakikat mengatakan bahawa kaum Bukan Bumiputera merupakan rakan kongsi Bumiputera yang paling baik dalam perniagaan. Persoalannya, adakah kaum Bukan Bumiputera komited dan berusaha untuk menjadikan sasaran 30 peratus kepada Bumiputera itu terlaksana?. Saya berpendapat salah satu daripada kegagalan dasar ekonomi baru adalah kerana kaum Bukan Bumiputera tidak membantu ke arah pencapaian tersebut tetapi hakikatnya kenikmatan dirasai dan digunakan dengan bijak oleh mereka. Malahan yang berlaku sehingga ke hari ini kaum Bukan Bumiputera bukan sahaja tidak membantu sebaliknya mereka mempertikaikan dasar tersebut. Jelas di sini bahawa mereka lebih suka melihat kaum Bumiputera tidak menerima risiko perdagangan dan tidak aktif dalam pengurusan. Dengan ini, selama-lamanya kaum Bumiputera akan jahil dalam dunia perniagaan dan terus bergantung pada mereka.

11. Sebenarnya, kaum Bumiputera sentiasa menyokong perniagaan peniaga Bumiputera itu sendiri tetapi jika perniagaan mereka tidak memenuhi keperluan maka mereka tidak mempunyai pilihan melainkan membeli di tempat yang dapat memenuhi permintaan mereka.

12. Justeru, kaum Bumiputera perlu bijak dalam menguruskan perniagaan agar kualiti dan perkhidmatan yang diberikan membolehkan ke semua lapisan dan kaum memberi sokongan kepada perniagaan mereka . Persaingan harga juga memainkan peranan dalam memastikan pelanggan tidak lari kepada pesaing yang lain.


13.Kita juga perlu menyokong usaha pemimpin kita dalam memantapkan lagi maruah, kesejahteraan dan kemakmuran negara melalui daya usaha memastikan peluang dan ruang bagi kaum Bumiputera menyertai pelaksanaan Model Baru Ekonomi (MBE) tidak tercicir, termasuk 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). Namun demikian sebarang model dan rancangan yang ingin dilaksanakan perlu mengambil kira kepentingan orang Melayu

14 “Sudah sampai masanya apa pun dasar yang nak digubal dan nak dilaksanakan, mestilah menjadikan perkara 153 dan DEB sebagai sumber induk. Rakyat pula perlu diberi pemahaman yang jelas mengenai konsep atau dasar yang ingin dilaksanakan”.


15. Maka bagi mengejar dan mengagihkan kek ekonomi perlu ada persaingan
yang seiring supaya ia dapat diintegrasikan dengan menyandarkan keadilan sosial dan pengagihan kekayaan negara kepada komposisi kaum, iaitu Bumiputera 67 peratus dan kaum Bukan Bumiputera 33 peratus. Meneruskan dasar afirmatif dan distributif yang adil bukan ditentukan oleh perasaan tetapi ia turut bersandarkan kepada keperluan.

16. Yang kedua, kerajaan haruslah mengutamakan pelaburan langsung domestik (DDI), berbanding pelaburan langsung asing (FDI) dengan memberikan insentif kepada pelabur domestik, agar melabur di dalam negara sendiri kerana ia bukan sahaja dapat membantu perkembangan ekonomi negara, sebaliknya dapat dikawal dari sudut penglibatan Bumiputera.

17. Yang ketiga, apa juga pelaksanaan yang dilakukan oleh syarikat GLC, haruslah mengambil tanggungjawab kerajaan dengan mewujudkan peruntukan khas seperti biasiswa terhadap pelajar-pelajar Bumiputera. Kerajaan mestilah menjadikan agenda Melayu sebagai salah satu KPI terhadap syarikat-syarikat GLC.

18. Akhir sekali, kita selalu fikir bahawa orang Melayu masih memerlukan tongkat. Tetapi, Melayu pada hari ini sudah jauh berbeza kerana pada hari ini kita dapat lihat ada juga Melayu yang sudah jadi jutawan dan berjaya di dalam mahupun di luar negara. Seharusnya Melayu ini diasingkan dalam satu kelompok yang lain tapi yang lebih perlu kita bantu adalah Melayu yang sukar untuk menggerakkan perniagaan mereka. Ini kerana mereka mengatakan bahawa pinjaman tidak mudah diberikan oleh pihak bank. Oleh itu , sewajarnya pegawai-pegawai bertanggungjawab harus merubah sikap daripada bagaimana mahu menolak sesuatu pinjaman kepada bagaimana mahu meluluskan pinjaman.

19. Sehubungan dengan itu, sudah sampai masanya bahawa kita harus meneliti pelaksanaan yang dibuat secara berkesan tanpa kompromi dengan membentuk satu sistem ekonomi bersandarkan kepada keadilan sosial dan komposisi kaum dengan mengambil kira kepentingan orang Melayu.


OLEH :
PENGARAH
MAJLIS TINDAKAN EKONOMI DAN SOSIAL BUMIPUTERA (MTESB)
DATUK HJ HASNOOR BIN SDG HUSIN